Saturday, April 11, 2009

Mendepani Islam Liberal...

Apa perasaan anda ketika membaca dengan seimbas lalu beberapa susunan kalimah yang menjadi mukadimah sebuah laman web yang mencerminkan sifatnya sebagai sebuah laman web yang Islamik seperti berikut, iaitu:
Dengan nama Allah
Tuhan Pengasih
Tuhan Penyayang
Tuhan segala agama.

Adalah baik apabila memulakan apa jua pekerjaan dengan menyebut nama Allah.Bahkan ia suatu perkara yang terpuji. Tetapi, perasankah pada tiga patah kalimah dalam baris yang terakhir di atas? Pada fikiran anda sekalian, tidakkah ia memberi apa-apa pengertian atau makna tersirat? Atau ia adalah perkara biasa? Atau anda turut sama membenarkan apa yang diungkapkan tersebut? Kalau anda perasan. Inilah antara bahayanya apa yang dinamakan Islam Liberal. Dan pengaruhnya pila semakin menjalar ke dalam masyarakat kita di Malaysia.

Sudahlah umat Islam di Malaysia murtad dek hero-hero Hindu, murtad lagi dek kaya dan prihatinnya Kristian terhadap kebajikan insan-insan yang lemah iman lagi cetek ilmu agamanya, dan kini disesatkan pula oleh Islam Liberal!

Amat malang sekali apabila muncul golongan-golongan yang didatangi smangat untuk mengamalkan Islam dalam keadaan belum mempunyai asas sebelumnya tiba-tiba menemui apa yang dinamakan sebagai Islam Liberal ini ataupun mana-mana ajaran yang menyimpang seperti ajaran Ayah Pin. Golongan ini akan berpegang kemas dengan apa yang disangka adalah Islam yang sebenarnya sedangkan ianya adalah palsu. Golongan seperti inilah yang dilihat selalunya teguh dengan ajaran Islam. Bahkan lebih teguh pegangan dan amalan mereka berbanding golongan yang telah lama berkecimpung dalam agama sejak dari awal lagi.

Pendokong Islam Liberal bukan sembarangan penyesat. Antara mereka ada yang berstatus doktor falsafah seperti Dr. Nurcholis Majid atau mesra dikenali sebagai Cak Nur. Mereka bijak dalam berhujah, pandai bermain logik akal, serta keramahan mereka menawan hati sesiapa jua.

Nafsu mana tidak melonjak gembira apabila dapat bebas dari cengkaman agama. Lalu Islam Liberal datang mengatakan setiap individu bebas sama ada untuk menganut atau tidak menganut mana-mana agama. Manusia bebas untuk berpegang dengan mana-mana agama sebab semua agama adalah sama. Kononnya memperjuangkan hak wanita, mereka menentang hukum syariah. Atas nama mengangkat peranan dan fungsi otak, mereka meletakkan akal lebih tinggi daripada kalam Allah dan kalam Rasul. Merekalah munafik abad ini. Kulitnya Islam tapi isinya kufur. Apa yang mereka sebarkan ini adalah bidaah terkeji saat dunia mengecap era millennium baru.

Ditambah lagi, liputan mereka amatlah luas. Mereka diberi tempat oleh media-media massa, mendapat tempat pula di kalangan pembaca dan audiens. Mereka menerbitkan buku-buku, tulisan mereka tersiar di dada-dada akhbar, mereka mengadakan forum-forum dan mereka juga membangunkan laman web serta menghidupkannya. Bayangkanlah sekiranya buku-buku puak kristian apabila ditulis dalam judul-judul Islam pun sudah begitu mengelirukan, tidakkah buku-buku Islam Liberal lebih memperdayakan?

Berdepan dengan permasalahan-permasalahan umat Islam di Malaysia mahupun di mana jua, seperti masalah sosial, krisis akidah, dan sebagainya. Maka selalulah terpacul soalan: “apakah peranan mahasiswa Islam dalam masalah ini?”, apa yang perlu dan boleh dilakukan oleh mahasiswa Islam?”, dan pelbagai lagi soalan seumpamanya. Ini adalah kerana, mahasiswa Islamlah yang sedar dengan waqi’ semasa, faham dengan tugas dan perananya di hadapan Allah, jelas dengan tuntutan ilmu yang dipelajari. Ini sudah pasti masing-masing akan mencari jalan keluar bagi setiap penyakit umat. Bukan hanya mengharapkan orang lain. Masalah yang timbul di suatu tempat mungkin tidak sama di tempat yang lain lantas memerlukan jalan penyelesaian atau pendekatan yang juga berbeza.

Musuh Islam sudah berada di keliling pinggang. Dengan itu menghendaki kita bekerja dengan lebih gigih. Usaha dakwah mesti ditingkatkan. Para da’ie pula hendaklah bertindak dengan lebih profesional. Da’ie yang berketerampilan perlu dilahirkan. Mahasiswa perlu meningkatkan takwa kepada Allah kerana takwalah yang akan mewarnakan kegiatan dakwahnya. Iman perlu digilap. Ilmu perlu diperdalam. Maklumat semasa hendaklah dicerap seperti permasalahan Islam Liberal. Di sinilah menghendaki kita membuat pembacaan sendiri, mengkaji sendiri, dan membuat perbincangan sesama sendiri.

Mahasiswa mestilah dengan sukarela, tampil untuk di tarbiyah supaya mampu pula mentarbiah generasi-generasi akan datang. Islam tidak akan rugi sekiranya kita tidak mahu menyumbang bahkan kitalah yang akan rugi kerana tidak mahu menyumbang. Waktu yang ada pada kita tidaklah sebanyak mana. Tanggungjawab yang ada pula tidak mungkin dapat dilaksanakan semuanya berdasarkan masa yang ada. Oleh itu, masa yang ada mesti disusun dengan sebaiknya. Da’ie yang baik tidak dilahirkan dalam masa sehari.

“ Demi masa! Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian….”.

No comments: